Anda Pengunjung Ke :

Sunday 16 August 2015

Khas Sempena Keputeraan Sultan Brunei Ke-69.


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah diputerakan pada tanggal 15 Julai 1946 di Istana Darussalam. Baginda merupakan putera kepada pasangan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Omar Ali Saifuddien III Sa'adul Khairi Waddien Ibni Almarhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Pengiran Raja Isteri Pengiran Anak Damit Binti Almarhum Pengiran Anak Abdul Rahman. 

Sultan Hassanal ketika menerima Darjah Kerabat Brunei daripada ayahanda baginda.

Sultan Hassanal dilantik sebagai Duli Paduka Sri Pengiran Muda Mahkota pada 14 Ogos 1961 pada usia 15 tahun. Ayahanda baginda, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien telah turun takhta Brunei pada 4 Oktober 1967 dan Sultan Hassanal Bolkiah selaku putera sulung telah dimashurkan sebagai Sultan Brunei Darussalam Ke-29. Istiadat perpuspaan baginda sebagai Sultan Brunei telah diadakan pada 1 Ogos 1968 di Lapau Di-Raja, Bandar Seri Bagawan. Baginda juga merupakan Perdana Menteri pertama Brunei Darussalam.

Baginda mendirikan rumah tangga dengan sepupu baginda, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha Binti Pengiran Anak Muhammad Alam pada 28 Julai 1965. Raja Isteri Saleha diputerikan pada 7 Oktober 1946 dan merupakan puteri kepada Pengiran Anak Haji Muhammad Alam Ibni Almarhum Pengiran Anak Abdul Rahman dan Pengiran Anak Hajah Besar Binti Pengiran Anak Metassan. Pasangan ini dikurniakan 2 putera dan 4 puteri. Putera sulung baginda kini bergelar Pengiran Muda Mahkota Putera Mahkota Brunei Pengiran Haji Al-Muhtadee Billah.

Dimahkotakan oleh ayahanda baginda ketika istiadat perpuspaan.

Sultan Hassanal bertemu jodoh buat kali kedua dengan YTM Pengiran Isteri Pengiran Hajah Mariam Binti Haji Abdul Aziz pada 28 Oktober 1982. Pengiran Mariam dilahirkan pada 29 Januari 1956 dan merupakan puteri kepada YM Haji Abdul Aziz Bin Abdullah dan YM Pengiran Rashidah Binti Pengiran Muhammad Salleh. Bersama Pengiran Isteri Mariam, baginda dikurniakan 2 putera dan 2 puteri. Pasangan ini bercerai pada Februari 2003. Pengiran Isteri Mariam selepas itu bergelar Hajah Mariam Binti Haji Abdu Aziz.

Raja Isteri Saleha, Cik Puan Azrinaz dan Sultan Hassanal Bolkiah.

Sultan Hassanal dengan Hajah Mariam Aziz.

Seterusnya Sultan Hassanal mendirikan rumah tangga dengan seorang wartawan dari Malaysia iaitu YTM Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim pada 20 Ogos 2005. Pasangan ini dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Pasangan ini bercerai pada 16 Jun 2010 dan kesemua gelaran dan darjah kebesaran Cik Puan Azrinaz ditarik balik oleh Sultan Hassanal Bolkiah. 

Sultan Haji Hassanal Bolkiah pernah bergelar lelaki terkaya dunia. Kini baginda merupakan Raja kedua terkaya didunia selepas Raja Thailand dengan aset bernilai 20 Bilion Dollar.

Selamat Hari Keputeraan Ke-69 Buat KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

DAULAT KEBAWAH DULI TUAN PATIK.

Memakai mahkota kerajaan Brunei Darussalam.

Bersama ayahanda,bonda serta adinda-adinda baginda.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...