Anda Pengunjung Ke :

Saturday 22 August 2015

Seri Istana: Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah..


 WARISAN PERMAISURI MELAYU kali ini membawakan kisah pasangan DiRaja dalam segmen baru Seri Istana. Sebagai pembuka tirai, dibawakan kisah pasangan DiRaja dari negeri terkecil di Malaysia iaitu negeri Perlis. Pasangan yang dimaksudkan ialah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,D.K.P.,D.K.,S.S.P.J.,D.K.M.,D.M.N.,D.K.(Perak),D.K.(Negeri Sembilan),D.K.(Kelantan),D.K.(Kedah),D.K.M.B.(Brunei),S.P.M.J.,S.P.C.M.,S.P.M.T.,Collar Of The Order Of Chrysanthemum(Japan),Grand Order Of King Tomislav(Croatia),Grand Collar Of The National Order of Independence(Cambodia),Orders Of Merit With Collar(Italy),White Rose With Collar(Finland),The Order Of Temasek(Singapore), Grand Cross of the Royal Order of Cambodia, Grand Croix of the National Order of the Legion of Honour(France), Grand Cordon of the Order of Sacred Treasure(Japan), Collar of Badr Chain(Saudi Arabia), Knight of the Royal Order of the Seraphim(Sweden), Order of Umayyad(Syria).

 dan 
 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid,D.K.,S.S.P.J.,S.P.M.P.,D.M.N.,D.K.(Pahang),D.K.(Kelantan),S.P.M.J.,Grand Cordon of the Royal Order(Cambodia), Orders of Merit(Republic of Italy), Isabella the Catholic(Spain), Grand Cordon of the Order of The Precious Crown(Japan), Order of the Sacred Treasure 2nd Class(Japan).


Tuanku Syed Sirajuddin ketika muda.


Tuanku Syed Sirajuddin diputerakan pada 17 Mei 1943 di Arau Perlis dan merupakan anakanda kedua kepada pasangan DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Syed Hassan Jamalullail dan DYMM Tengku Budriah Binti Tengku Ismail. Manakala Tuanku Fauziah diputerikan pada 6 Jun 1946 di Kota Bharu,Kelantan dan merupakan puteri kepada YAM Tengku Abdul Rashid Ibni Sultan Sulaiman dan YAM Tengku Petri Binti Sultan Ibrahim. 



Tuanku Fauziah ketika muda.


Pasangan diraja ini bertemu jodoh pada 15 Februari 1967. Istiadat perkahwinan diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Ketika itu Tuanku Syed Sirajuddin bergelar Raja Muda Perlis dan berusia 24 tahun. Manakala Tuanku Fauziah baru sahaja berusia 21 tahun. Selepas berkahwin, Tuanku Fauziah dikurniakan gelaran Raja Puan Muda Perlis pada 30 April 1968. 



Istiadat persandingan diraja.


Pada 30 Disember 1967, lahirlah seorang putera bagi pasangan diraja ini. Putera sulung ini diberikan nama Syed Faizzudin Putra Ibni Syed Sirajuddin Jamalullail. Syed Faizzuddin diputerakan di Hospital Besar, Alor Star Kedah. Puteri bongsu Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah yang diberi nama Sharifah Fazira Jamalullail pula diputerikan pada 5 Jun 1973 di Hospital Besar Kangar Perlis. 

Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah menjadi Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis sehingga kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 16 April 2000. Tuanku Syed Sirajuddin dimashyurkan sebagai Raja Perlis pada hari yang sama. Baginda berdua ditabalkan sebagai Raja dan Raja Perempuan Perlis pada 7 Mei 2001 di Istana Arau, Perlis. Putera sulung baginda berdua, Syed Faizzudin Putra diberikan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis sementara puteri bongsu baginda Sharifah Fazira diberi gelaran Tengku Puteri Mahkota Perlis.

Tidak sampai setahun menaiki takhta negeri Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 12 menggantikan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mangkat pada 21 November 2001. Penggal 5 tahun baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong bermula pada 13 Disember 2001. Maka berangkatlah Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah ke Kuala Lumpur untuk menduduki takhta persekutuan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Baginda berdua menghabiskan penggal 5 tahun yang berakhir pada 12 Disember 2006.

Kini, baginda berdua telah bertakhta sebagai Raja dan Raja Perempuan Perlis selama 15 tahun. Tuanku Syed Sirajuddin berusia 72 tahun manakala Tuanku Fauziah berusia 69 tahun. Pasangan diraja ini telah 48 tahun hidup bersama. Semoga Allah melanjutkan usia Tuanku berdua.


Pasangan diraja yang bahagia. Tuanku Fauziah melayan suami baginda ketika santapan.


Memotong kek ulangtahun perkahwinan.


Ketika bergelar Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda bersama anakanda Syed Faizzuddin dan Sharifah Fazira.

Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah ketika usia muda.

Raja dan Raja Perempuan Perlis bersama Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis.


Ketika bersemayam sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ke-12.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

2 comments:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...