Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 25 August 2015

Hari Keputeraan dan Kemangkatan Sultanah Bahiyah.

Hari ini, 26 Ogos 2015, genap 12 tahun kemangkatan Almarhum Sultanah Bahiyah, Sultanah kesayangan rakyat negeri Kedah Darul Aman. Baginda merupakan isteri kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Baginda mangkat 2 hari selepas menyambut hari keputeraan baginda ke 73 pada 24 Ogos 2003. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

DALAM KENANGAN


AL-FATIHAH

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman,
D.K., D.K.H., D.M.N., D.K.(Kelantan), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Johor), S.P.M.K., Dame Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure(Japan), Dame Grand Cross of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand), Grand Cordon of the Star of Mahaputra 1st Class(Indonesia), Grand Cordon of the Order of the Pleiades 1st Class(Iran), Commemorative Medal of the 2500th Anniversary of the Founding of the Persian Empire(Iran).


24.Ogos.1930 - 26.Ogos.2003

Berikut merupakan Petikan Akhbar Utusan Melayu yang bertarikh 27 Ogos 2003 yang melaporkan tentang berita kemangkatan Sultanah Bahiyah :


ALOR STAR 26 Ogos - Sultanah Kedah, Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat pada pukul 12.23 tengah hari ini di Istana Kuala Cegar, Anak Bukit setelah gering sejak seminggu lalu.
Almarhum yang berusia 73 tahun, mangkat dua hari selepas ulang tahun kelahiran baginda. Baginda dilahirkan pada 24 Ogos 1930.

Pengumuman rasmi mengenai kemangkatan Sultanah Kedah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di Wisma Darulaman, di sini, pada pukul 2.15 petang.

Berikutan kemangkatan Sultanah Kedah, kata Syed Razak, tempoh perkabungan ditetapkan selama seminggu mulai hari ini hingga 1 September. Dalam tempoh itu, semua majlis rasmi, keramaian, perayaan termasuk perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos di negeri ini, dibatalkan.

Beliau juga mengumumkan esok sebagai hari cuti umum dan mengarahkan bendera negeri, Persekutuan dan bendera lain dikibarkan separuh tiang. Syed Razak menyatakan, tembakan sebanyak 17 das dilepaskan hari ini sebagai pengumuman mengenai kemangkatan Sultanah Kedah. Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir mulai pukul 9 pagi hingga 12.50 tengah hari esok.

Kata beliau, masa untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir ialah mulai pukul 9 pagi hingga 11 pagi, pembesar dan kenamaan pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari manakala mulai pukul 12 tengah hari hingga 12.50 tengah untuk kerabat-kerabat diraja. Menurut beliau, jenazah Almarhum akan disembahyangkan pada pukul 12.50 tengah hari dan akan dibawa dari Istana Anak Bukit melalui Lebuh Raya Darulaman, Jalan Sultanah dan Jalan Langgar untuk dimakamkan di Makam Diraja Langgar, 10 kilometer dari sini pada pukul 2.30 petang.

Syed Razak berkata, kemangkatan Almarhum Sultanah Kedah telah dimaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk makluman semua Sultan dan Raja di negeri-negeri lain. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta Raja-Raja dijangka tiba esok untuk memberi penghormatan terakhir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali juga akan memberikan penghormatan terakhir esok. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menziarahi jenazah Almarhum pada malam ini.

Almahrhum Tuanku Bahiyah merupakan puteri sulung Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu. Baginda dilahirkan di Istana Seri Menanti Negeri Sembilan dan berkahwin dengan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada bulan Mac 1956 dan kemudian dilantik sebagai Sultanah Kedah pada 20 Februari 1959.

Almarhum dikurniakan tiga orang puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Intan Safinaz.

Pada 21 September 1970 baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong apabila Sultan Kedah dilantik Yang di-Pertuan Agong Kelima Malaysia.
Tuanku Bahiyah yang mendapat pendidikan dalam bidang Sains Kemasyarakatan di Universiti Nottingham, England pada 1951 hingga 1954, juga pernah menjadi Canselor Universiti Malaya pada 1972 hingga 1986.
Semasa menjadi Sultanah Kedah, baginda aktif dalam kerja-kerja sosial termasuk mengasaskan Yayasan Sultanah Bahiyah, sebuah organisasi amal pada tahun 1996.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...