Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 20 August 2017

Agong Rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.


KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan untuk berangkat dan merasmikan Pembukaan Rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Ogos 2017 jam 8 malam. Turut hadir pada majlis berkenaan adalah YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri YABhg Datin Seri Rosmah Mansor, YAB Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, YB Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan isteri Nori Tun Abdullah, Mantan Timbalan Perdana Menteri YABhg Tun Musa Hitam dan isteri YABhg Toh Puan Zulaikha Sheardin, YABhg Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ketua Hakim Negara YAA Tan Sri Raus Sharif dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia YAM Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Jaafar. Turut hadir menteri-menteri kabinet dan tetamu-tetamu kehormat yang lain serta kira-kira 90 ribu rakyat Malaysia untuk meraikan atlet yang bertanding dalam temasya Sukan SEA kali ini. 


Keberangkatan tiba Seri Paduka pada pukul 8.22 malam diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Temasya sukan dwitahunan itu secara rasmi bermula setelah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, memohon perkenan Seri Paduka bagi menyempurnakan upacara pengisytiharan di pentas diraja. "Dengan lafaz suci Bismillahirahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017. Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh" titah baginda.


Penganjuran KL2017 yang berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah buat kali keenam sejak 1965. Ia melibatkan penyertaan 5,000 atlet dari 11 negara yang akan bertanding dalam 404 acara daripada 38 jenis sukan.


Upacara perasmian bermula dengan pertunjukkan bunga api yang memukau serta perarakan masuk kontinjen mengikut susunan abjad didahului dengan Brunei dan sorakan penonton bergema sebaik sahaja kelibat kontinjen Malaysia terakhir melangkah masuk ke stadium dengan tiga atlet kelas dunia berada di barisan hadapan. Tiga atlet tersohor negara, juara berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang, ratu terjun dunia, Cheong Jun Hoong dan jaguh silat dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari mendahului perbarisan negara dengan membawa Jalur Gemilang.




No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...