Anda Pengunjung Ke :

Wednesday, 11 December 2013

WAJAH-WAJAH : Tuanku Syed Putra dan Tengku Budriah.

Assalamualaikum. Kita teruskan segmen WAJAH-WAJAH yang menampilkan gambar-gambar kenangan Raja-raja dan Permaisuri-permaisuri yang pernah bertakhta di negara kita. Kali ini giliran pasangan DiRaja dari negeri Perlis Indera Kayangan iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Syed Harun Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Tengku Budriah Binti Almarhum Tengku Ismail. Baginda berdua merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 3 bermula tahun 1960 hingga 1965. Baginda berdua merupakan pasangan pertama yang menghabiskan tempoh 5 tahun di atas takhta persekutuan. Baginda berdua juga merupakan satu-satunya Raja dan Permaisuri bagi negara Singapura yang menganggotai Persekutuan Malaysia sebelum keluar dari Malaysia pada tahun 1965. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada tahun 1941. Menaiki takhta negeri Perlis pada tahun 1945 sehingga kemangkatan Tuanku Syed Putra pada tahun 2000. Baginda berdua dikurnikan 10 orang cahaya mata. Tuanku Syed Putra memerintah Perlis selama 55 tahun sebelum mangkat pada usia 80 tahun akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara. Tengku Budriah meneruskan kehidupan sebagai Raja Perempuan Besar Perlis sehingga kemangkatan baginda akibat sakit tua pada tahun 2008 di usia 84 tahun.


Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong  dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 3.

Potret rasmi sebagai KDYMM Raja Perlis dan KDYMM Raja Perempuan Perlis. Baginda berdua juga merupakan pasangan DiRaja paling senior pada dekad 90 an.

Baginda berdua ketika zaman muda. Gambar ini berkemungkinan diambil sekitar awal tahun 1960 an.

Baginda berdua baru turun dari pesawat untuk menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja di negeri Terengganu.

Baginda berdua membuat lawatan rasmi ke negara Jepun. Baginda berdua diberi sambutan negara oleh Maharaja Jepun Maharaja Hirohito dan Maharani Nagako.

Tuanku berdua berangkat menuju ke Parlimen untuk perasmian penggal Parlimen. Baginda berdua merupakan pasangan Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong termuda apabila menaiki takhta persekutuan sewaktu masing-masing berusia 40 tahun dan 36 tahun.

Baginda berdua menghadiri satu majlis rasmi di Istana Negara pada tahun 1990 an.

Tuanku berdua berangkat ke Balairong Seri Istana Negara untuk menyaksikan Istiadat Pertabalan rakan baik baginda berdua iaitu Tuanku Jaafar dan Tuanku Najihah yang menaiki takhta persekutuan pada tahun 1994.

Tuanku Syed Putra menerima tabik hormat semasa istiadat Hari Keputeraan baginda. Turut menemani baginda ialah Tengku Budriah dan juga isteri Perdana Menteri YABhg Tun Sharifah Rodziah Barakbah ( di belakang Tengku Budriah).

Baginda berdua di Stadium Utama Kangar semasa Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Tuanku Syed Putra pada tahun 1995. Turut berangkat Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Fauziah.

SELAMAT HARI KEPUTERAAN KE 68, DAULAT TUANKU!!!

Sempena keputeraan rasmi Sultan Selangor hari ini, WARISAN PERMAISURI akan menyingkap sedikit sebanyak kisah kehidupan Sultan Selangor ke 9, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.


Diputerakan pada tanggal 23 Disember 1945 di Istana Jemaah Klang sebagai Yang Mulia Tengku Idris Shah Ibni Tengku Abdul Aziz Shah. Baginda merupakan putera sulung kepada pasangan DiRaja Yang Amat Mulia Tengku Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dan Yang Amat Mulia Raja Saidatul Ihsan Binti Tengku Badar Shah. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda pada tahun 1950 kemudiannya berpindah ke Sekolah St John Institution Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, baginda melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Hale School di Perth Australia. Pada tahun yang sama ayahanda baginda Tengku Abdul Aziz menaiki takhta negeri Selangor menggantikan nenda baginda yang mangkat sebagai Yang Di Pertuan Agong. Ayahanda baginda memakai gelaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Baginda diishtiharkan sebagai Raja Muda Selangor di usia 15 tahun. Baginda seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Kolej Langhurst, Surrey, Britain pada tahun 1964. Sekembalinya dari Britain, baginda menyertai bidang pentadbiran dan perkhidmatan awam. Baginda pernah berkhidmat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Harun Idris dan juga Pejabat Daerah Kuala Lumpur serta Pejabat Polis Kuala Lumpur.


Upacara perlantikan rasmi baginda sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor diadakan di Istana Alam Shah Klang pada tahun 1970 ketika baginda berusia 25 tahun. Baginda juga dianugerahkan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.).

Baginda mendirikan rumah tangga bersama Yang Amat Mulia Raja Datin Paduka Seri Zarina Binti Raja Tan Sri Zainal pada tahun 1968 ketika berusia 23 tahun. Perkahwinan baginda dikurniakan dua orang puteri iaitu Yang Amat Mulia Tengku Zerafina Sultan Sharafuddin(1969) dan Yang Amat Mulia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah(1973). Walau bagaimanapun jodoh baginda dengan Raja Zarina tidak kekal. Baginda bercerai pada tahun 1986 setelah 18 tahun berkahwin. 2 tahun kemudian baginda bertemu jodoh pula dengan Puan Nur Lisa Idris Abdullah , seorang warga Amerika Syarikat. Perkahwinan baginda kali ini dikurniakan seorang putera iaitu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang dilahirkan pada tahun 1990. Sekali lagi jodoh baginda tidak kekal. Baginda bercerai pada Jun 1997.


Sultan Sharafuddin ditauliahkan sebagai Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia pada 27 Ogos 1998. Pentauliahan ini dibuat sebagai mengiktiraf kegigihan baginda mengelilingi dunia selama 644 hari bermula 4 Februari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadi baginda yang diberi nama Jugra. Baginda juga telah mendapat sijil pengiktirafan daripada "The Malaysia Books of Records" kerana menggunakan kereta antik Ford Model B untuk mengembara sejauh 16 000 kilometer dari Peking ke Paris selama 43 hari pada tahun 1997.

Bersama bonda baginda Raja Saidatul Ihsan serta kerabat DiRaja negeri Selangor.

Baginda diishtiharkan sebagai Pemangku Sultan Selangor pada tahun 1999 apabila ayahanda baginda dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke 11. Ayahanda baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mangkat pada 21 November 2001. Maka, Sultan Sharafuddin diishtiharkan sebagai Sultan Selangor yang ke 9 menggantikan ayahanda baginda pada 22 November 2001.Baginda menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Baginda ditabalkan dan dimahkotakan pada 9 Mac 2003 di Istana Alam Shah Klang. Baginda merupakan Kapten Yang Di Pertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Baginda juga merupakan Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).


Sempena Pertabalan baginda pada tahun 2003.

Baginda kini berusia 68 tahun. Sama-samalah kita doakan kesejahteraan dan kebahagiaan bagi DYMM Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan. Selamat Hari Keputeraan Tuanku. DAULAT TUANKU!!!

Hari Keputeraan Sultan Selangor..


DAULAT TUANKU !!!

SEMOGA ALLAH MELANJUTKAN USIA DAN PEMERINTAHAN TUANKU

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu),D.K.(Kelantan), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), D.K.(Negeri Sembilan),D.K.(Kedah),D.K.(Johor),S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.,Commander de la Legion d'Honneur (France).

SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA

Sembah Setinggi-tinggi Tahniah  dan Ucapan Selamat

SEMPENA SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN YANG KE 68
DULI YANG MAHA MULIA TUANKU
PADA 11 DISEMBER 2013 BERSAMAAN 8 SAFAR 1435 HIJRIAH

SEMBAH TAKZIM DARIPADA
WARISANPERMAISURI.BLOGSPOT.



Monday, 9 December 2013

WAJAH-WAJAH : Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Tengku Ampuan Jemaah.

Assalamualaikum. WARISAN PERMAISURI meneruskan segmen terbaru WAJAH-WAJAH dengan menampilkan pasangan DiRaja dari negeri Selangor yang merupakan pasangan kedua yang menaiki takhta kerajaan persekutuan. Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Ampuan Hajah Jemaah Binti Almarhum Raja Ahmad menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 2 bermula 14 April 1960. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada tahun 1919 di Istana Mahkota, Klang. Baginda berdua dikurniakan seorang putera iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang diputerakan pada tahun 1926. Pasangan DiRaja ini menaiki takhta negeri Selangor pada 31 Mac 1938. Semasa pemerintahan Jepun bermula tahun 1942, baginda diturunkan takhta sehinggalah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Takhta negeri Selangor dikembalikan kepada pasangan DiRaja ini. Sultan Hisamuddin bertakta sehinggalah kemangkatan baginda semasa bergelar Yang Di Pertuan Agong pada 1 September 1960. Baginda mangkat di Istana Tetamu , Kuala Lumpur. Manakala isteri baginda Tengku Ampuan Jemaah meneruskan kehidupan bersama satu-satunya putera baginda yang mewarisi takhta negeri Selangor sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1973.


Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 2.

Tuanku berdua bersemayam di hadapan singgahsana takhta kerajaan Selangor yang terletak di Istana Kota Klang. Tengku Ampuan Jemaah merupakan salah seorang permaisuri terawal yang mengenakan tudung dalam kehidupan seharian baginda.

Sultan Hisamuddin amat gemar memakai serban dan jubah. Gambar ini diambil di dalam kapal yang bernama 'Williem Ruys' semasa baginda dan Tengku Ampuan Jemaah berangkat pulang dari menghadiri Istiadat Kemahkotaan Queen Elizabeth II di England pada tahun 1953.

Baginda berdua ketika merasmikan sidang Parlimen pada tahun 1960.

Baginda berdua berangkat setelah merasmikan sidang parlimen. Turut mengiringi baginda berdua ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra dan YABhg Tun Sharifah Rodziah Barakbah(di belakang Tengku Ampuan Jemaah).

Baginda berdua menuju ke singgahsana takhta persekutuan. Baginda Sultan Hisamuddin merupakan satu-satunya Yang Di Pertuan Agong yang tidak sempat ditabalkan. Baginda mangkat setelah 5 bulan dilantik sebagai Yang Di Pertuan Agong.

Baginda berdua ketika menghadiri Istiadat Pemakaman Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman. Turut kelihatan ialah KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin .

Baginda berdua dikunjungi oleh DYMM Sultan Yussuf Izzudin dan DYMM Raja Perempuan Taayah.Sultan Yussuf merupakan ayahanda kepada Sultan Perak sekarang Sultan Azlan Shah. Gambar ini diambil di taman bunga Istana Pantai yang terletak di Morib, Selangor.

Seorang Sultan yang mementingkan Islam. Baginda mewarisi semangat cintakan Islam ini daripada Almarhum ayahanda baginda Sultan Alaeddin Sulaiman Shah yang amat mengasihi ulama dan mahir dalam pengajian Islam.

Tuanku berdua membuat lawatan terhadap pelajar-pelajar Tanah Melayu yang melanjutkan pelajaran di England pada tahun 1952. Baginda amat menitik beratkan bidang pendidikan.


Sunday, 8 December 2013

Wajah terbaru Tunku Puan Zanariah dan Tunku Puan Nora.


Assalamualaikum. Agak lama tidak kedengaran berita tentang dua puteri DiRaja Kelantan yang menjadi Sultanah di negeri Johor ini. Baginda berdua ialah Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora Tengku Ahmad dan Yang Amat Mulia Tunku Puan Zanariah Tengku Ahmad. Berita terakhir ialah berkenaan penarikan gelaran Sultanah dari baginda berdua dan diberikan gelaran baru iaitu Yang Amat Mulia Tunku Puan.

Tunku Puan Zanariah diputerikan pada 5 Julai 1940 di Istana Dusun Green Pasir Mas Kelantan. Baginda merupakan puteri ketujuh kepada Tengku Ahmad Panglima Raja Kelantan. Bertemu jodoh dengan Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail pada 20 Ogos 1961. Bergelar Sultanah Johor pada 11 Mei 1981 sehingga kemangkatan suami baginda pada Januari 2010. Menjadi Raja Permaisuri Agong ke 8 bemula tahun 1984 hingga 1989. Baginda dikurnikan 10 orang cahaya mata bersama Sultan Iskandar. Diberikan gelaran Yang Amat Mulia Tunku Puan oleh anakand tiri baginda Sultan Ibrahim pada 17 Februari 2011. Baginda kini berusia 73 tahun dan menetap di Johor Bahru, Johor. Berikut merupakan gambar terbaru baginda. Baginda masih lagi anggun dan cantik .





Tunku Puan Nora dilahirkan pada 10 Oktober 1937 is Istana Dusun Green, Pasir Mas Kelantan. Baginda bertemu jodoh dengan Sultan Johor, Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 13 September 1977 dan ditabalkan sebagai Sultanah Johor pada 28 Oktober 1978 menggantikan Almarhum Sultanah Aminah yang mangkat akibat kemalangan. Baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Setelah kemangkatan Sultan Ismail pada tahun 1981, baginda diberikan gelaran Yang Maha Mulia Sultanah oleh anakanda tiri baginda Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Bergelar Tunku Puan setelah cucunda tiri baginda Sultan Ibrahim menaiki takhta negeri Johor berkuatkuasa mulai 17 Februari 2011.  Pada 10 Oktober 2012, Hospital Batu Pahat ditukar nama kepada Hospital Sultanah Nora Ismail mengambil sempena nama baginda. Kini baginda berusia 76 tahun dan menetap di Johor Bahru. Gambar terbaru baginda menunjukkan baginda semakin kurus, mungkin akibat masalah kesihatan. Apa pun, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan Tunku Puan Nora Ismail.






Saturday, 7 December 2013

WAJAH-WAJAH : Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Kurshiah.

Assalamualaikum. WARISAN PERMAISURI kali ini memperkenalkan satu lagi segmen baru iaitu segmen WAJAH-WAJAH. Segmen ini memaparkan gambar-gambar kenangan pasangan-pasangan DiRaja yang pernah bertakhta di negara kita. Segmen ini membawa pembaca berada dengan lebih dekat dengan kehidupan yang dilalui oleh pasangan DiRaja ini.

Sebagai permulaan, pasangan pertama yang menghiasi segmen WAJAH-WAJAH ini ialah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri baginda Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Baginda berdua menaiki takhta Negeri Sembilan sebagai Yang Di Pertuan Besar dan Tunku Ampuan Besar pada tahun 1933. Mengetuai kerajaan persekutuan dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada 31 Ogos 1957. Baginda berdua mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 1929. Dikurniakan dua orang puteri iaitu Almarhum Sultanah Bahiyah,Sultanah Kedah dan YAM Tunku Shahariah,Tunku Puan Bendahara Johor. Tuanku Abdul Rahman mangkat ketika masih bergelar Yang Di Pertuan Agong pada 1 April 1960 di Istana Negara semasa baginda tidur. Tuanku Kurshiah meneruskan kehidupan sebagai Tunku Puan Besar sehinggalah kemangkatan baginda pada 4 Februari 1989 semasa berusia 88 tahun.

Potret rasmi sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. 

Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Pertama. Gambar ini diambil pada 13 September 1957 di Balairong Seri Istana Negara.

Baginda berdua berada di atas singgahsana takhta Negeri Sembilan di Istana Seri Menanti Negeri Sembilan. Turut kelihatan ialah YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin iaitu ayahanda kepada Tuanku Kurshiah dan juga anakanda sulung Tuanku Abdul Rahman iaitu YAM Tunku Munawir yang kemudiannya bergelar DYMM Tuanku Munawir.

Baginda berdua bergambar di hadapan Istana Negara yang terletak di Kuala Lumpur.

Baginda berdua memakai pakaian rasmi Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menuju ke Persidangan Parlimen.

Gambar Tuanku berdua di Istana Negara. Pasangan yang secocok.

Baginda berdua mengiringi Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isteri beliau untuk menaiki pesawat dan pulang ke Britain. Turut mengiringi ialah Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman dan isteri YABhg Tun Sharifah Rodziah.

Tuanku berdua ketika dipersembahkan hantaran perkahwinan puteri sulung mereka iaitu Tunku Bahiyah dengan putera Sultan Kedah Tunku Abdul Halim pada tahun 1956.

Tuanku berdua ketika berangkat ke Istiadat Kemangkatan Sultan Johor Sultan Ibrahim pada tahun 1959.


Lagi potret baginda berdua sebagai Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.







Friday, 6 December 2013

Almarhumah Raja Perempuan Zainab I

Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab I, D.K.(Kelantan).

Kepada penduduk negeri Kelantan sudah pasti sering mendengar nama Jalan Sultanah Zainab atau Sekolah Perempuan Zainab yang terletak di Kota Bharu Kelantan. Tapi pasti ramai di antara kita kurang mengenali siapakah gerangan pemilik nama Sultanah Zainab ini. Pasti ada juga di antara kita yang terkeliru di antara 3 Permaisuri Kelantan yang bernama Zainab iaitu Almarhumah Sultanah Zainab Binti Wan Muhammad Amin, Almarhumah Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Zainal Abidin atau Raja Perempuan Zainab I dan juga Almarhumah Tengku Zainab Binti Almarhum Tengku Muhammad Petra yang merupakan Raja Permaisuri Agong ke 6 atau dikenali sebagai Raja Perempuan Zainab II. Pada kali ini, Warisan Raja & Permaisuri Melayu akan bercerita mengenai Raja Perempuan Zainab I iaitu suri kepada Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. 

Diputerikan sebagai Yang Mulia Tengku Zainab Binti Tengku Zainal Abidin pada tahun 1897 di Kota Bharu. Baginda merupakan puteri kepada Yang Amat Mulia Tengku Long Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Muhammad III yang pernah menjadi Raja Muda Kelantan dengan isteri baginda Yang Amat Mulia Tengku Besar. Ayahanda Sultanah Zainab merupakan putera ke 3 kepada Al Sultan Kelantan Sultan Muhammad III Ibni Almarhum Sultan Ahmad yang memerintah Kelantan pada tahun 1890 - 1891. Ayahanda baginda merupakan adinda kepada ayahanda mertua baginda Almarhum Sultan Muhammad IV. 

Sultanah Zainab bersama besan baginda DYMM Sultan Hisamuddin, menantu baginda Tengku Zainab dan cucunda baginda Sultan Ismail Petra semasa Istiadat Pemakaman Sultan Ibrahim tahun 1960.

Raja Perempuan Zainab I merupakan bonda saudara kepada YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Ibni Almarhum Tengku Muhammad Hamzah. Baginda merupakan kekanda kepada YBM Tengku Muhammad Hamzah Ibni Tengku Zainal Abidin. Baginda Sultanah Zainab juga merupakan bonda saudara kepada bonda Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid iaitu YBM Tengku Hajah Azizah Binti Tengku Muhammad Hamzah. Ini secara tidak langsung menjadikan Raja Perempuan Zainab I nenda saudara kepada Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid.


Raja Perempuan Zainab I mendirikan rumah tangga dengan KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV pada 6 Julai 1914 ketika berusia 17 tahun. Sultan Ibrahim (yang ketika itu bergelar Tengku Sri Indera Mahkota Tengku Ibrahim) merupakan sepupu kepada Sultanah Zainab. Pada hari perkahwinan baginda, Raja Perempuan Zainab I telah diberikan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Embong. Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Balai Besar Kota Bharu.

Almarhum Tengku Indra Petra Tengku Tan Sri Abdullah & Tengku Puan Bendahara Tengku Thuraya.

Baginda dikurniakan sepasang cahaya mata. Putera tunggal baginda ialah Yang Teramat Mulia Tengku Besar Indra Petra Tengku Tan Sri Abdullah Ibni Sultan Ibrahim yang diputerakan pada tahun 1916. Tengku Indra Petra pernah menjadi Raja Muda Kelantan namun dilucutkan jawatan kerana sebab-sebab tertentu. Tengku Indra Petra kemudiannya menyertai politik dan menjadi Ahli Parlimen. Beliau juga merupakan pengasas UMNO di negeri Kelantan dan pernah dilantik memangku jawatan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Puteri baginda pula ialah Yang Amat Mulia Tengku Puan Bendahara Selangor Tengku Thuraya Binti Almarhum Sultan Ibrahim yang telah berkahwin dengan Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor Tengku Azman Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. 

Raja Perempuan Zainab I sewaktu muda.


Baginda menaiki takhta negeri Kelantan sebagai Raja Perempuan pada hari Kemahkotaan suami baginda sebagai Sultan Kelantan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV pada tanggal 25 Oktober 1944 di Istana Balai Besar. Baginda memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab, D.K. Baginda menjadi Raja Perempuan Kelantan selama 16 tahun sehinggalah kemangkatan Sultan Ibrahim pada 9 Julai 1960. Anakanda tiri baginda Tengku Yahya Petra dilantik menjadi Sultan Kelantan dengan bergelar KDYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Baginda juga sempat melihat cucunda baginda KDYMM Sultan Ismail Petra menaiki takhta negeri Kelantan pada tahun 1979 setelah kemangkatan Sultan Yahya Petra. Raja Perempuan Zainab I mangkat pada 28 September 1985 ketika berusia 88 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan. Al Fatihah untuk baginda.

Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Zainab I. 

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...