Anda Pengunjung Ke :

Sunday, 5 January 2014

Permaisuri dan Golf..

Selain bidang kebajikan dan pendidikan, para Permaisuri Melayu juga tidak kurang hebatnya dalam bidang sukan. Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU akan bercerita tentang Permaisuri yang terlibat secara aktif di dalam sukan golf. Sukan golf merupakan sukan elit di Malaysia. Para Raja-Raja Melayu terlibat secara aktif di dalam sukan ini dan merupakan sukan wajib bagi mengeratkan hubungan di antara Raja-Raja Melayu. Pertandingan atau kejohanan golf sering diadakan untuk meraikan hari keputeraan atau pertabalan Raja-Raja Melayu. Antara kejohanan yang berprestij ialah Pertandingan Golf Piala Majlis Raja-Raja .Selain Raja-Raja Melayu, para Permaisuri juga tidak kurang hebatnya di dalam sukan ini. Antara Permaisuri yang bergiat aktif dalam golf ialah DYMM Tuanku Haminah, DYMM Tuanku Bainun dan YMM Tuanku Najihah.   Tuanku Najihah merupakan antara pelopor sukan golf wanita di Malaysia apabila baginda mula bergiat dalam sukan golf pada tahun 1970 an. Kini , sukan golf wanita makin berkembang dan Malaysia mula menepah nama di peringkat antarabangsa.


DULI YANG MAHA MULIA TUANKU RAJA PERMAISURI PERAK DARUL RIDZUAN TUANKU BAINUN BINTI MOHD ALI,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Selangor),D.K.A.,Grand Cordon of the Order of Precious Crown (Japan), Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand), Fellow of Liverpool John Moores University.

Tuanku Bainun merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 9. Baginda semenjak zaman muda lagi meminati bidang sukan. Sewaktu baginda belajar di England, baginda menyertai sukan hoki. Baginda berkongsi minat sukan yang sama dengan suami baginda DYMM Sultan Azlan Shah yang turut mahir bermain hoki. Selain hoki, baginda berdua terlibat dalam sukan golf. Ketika zaman baginda menjadi Raja Permaisuri Agong, baginda sering menyertai Pertandingan Golf yang diadakan di dalam negara.






YANG MAHA MULIA TUANKU TUNKU AMPUAN NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS TUANKU NAJIHAH BINTI ALMARHUM TUNKU BESAR BURHANUDDIN,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Kedah),D.K.(Kelantan),S.P.T.J.,S.P.M.K., Grand Cordon of Royal Cambodia Order.

Tuanku Najihah merupakan salah seorang pemain golf wanita profesional di negara kita. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong ke 10 di antara tahun 1994 hingga 1999. Baginda merupakan pelopor sukan golf wanita di Malaysia. Atas inisiatif baginda, Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) berjaya ditubuhkan pada tahun 1983. Bersama baginda mengasaskan pertubuhan ini ialah Almarhum Tunku Tun Maimunah Sultan Ismail, Mrs Mary Williams dan Ms Tan Siew Lay. Tuanku Najihah merupakan penaung bagi persatuan ini hingga ke hari ini. Baginda mencipta rekod sebagai satu-satunya permaisuri yang berjaya membuat Hole- in- One sebanyak tiga kali. Kali pertama pada tahun 1972 di Subang International Golf Club. Kali kedua semasa suami baginda menjadi Yang Di Pertuan Agong. Ketika itu Tuanku Najihah yang berada di dalam kumpulan Sultan Selangor menentang kumpulan Yang Di Pertuan Agong di Tropicana Golf Club. Kali ketiga ialah ketika baginda bercuti di Hawaii.

Sijil Hole-in-One yang diterima baginda.







DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG TUANKU HAJAH HAMINAH BINTI HAJI HAMIDUN,
D.K.,D.K.H.,D.M.N.,Grand Cordon of the Order of Precious Crown (Japan).

Tuanku Haminah amat meminati sukan semenjak baginda muda lagi. Selain golf, baginda juga meminati sukan tenis dan skuasy. Penglibatan baginda amat aktif dalam sukan golf. Baginda banyak memenangi pertandingan golf yang diadakan di dalam negara. Sepanjang bergelar Raja Permaisuri Agong, baginda banyak menyertai pertandingan golf amal antaranya Piala Raja Permaisuri Agong dan Golf Jemputan Piala Datuk Bandar. Terbaru, Tuanku Haminah menjadi juara Kejohanan Golf Tahunan Public Gold 2013 bagi kategori wanita di Kelab Golf Pulau Pinang. Baginda dan Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim juga menyertai Pertandingan Golf Empat Penjuru Piala Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Taiping Golf Resort pada Oktober 2013.











Friday, 3 January 2014

Lawatan Raja-Raja Melayu ke Brunei Darussalam ( Tahun 1958) - Bahagian 3.

Perdana Menteri Persekutuan, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien berangkat ke Brunei untuk bersama-sama Raja-Raja Melayu. Ketibaan Tunku disambut oleh Sultan Brunei.

Tunku Abdul Rahman memeriksan barisan kehormat.

Sultan Brunei menyambut ketibaan Tunku di Lapangan Terbang.

ISTIADAT BERKHATAN PUTERA SULTAN BRUNEI.

Raja-Raja Melayu menghadiri Istiadat Berkhatan Pengiran Muda Hassanal Bolkiah dan Pengiran Muda Mohammad Bolkiah di Istana Darul Hana. Turut berangkat Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak. Raja-Raja Melayu berkenan menepung tawar kedua putera yang bersemayam di Singgahsana Istana Darul Hana. 

Pengiran Muda Hassanal Bolkiah dan Pengiran Muda Mohammad bersemayam di Singgahsana.

Tuanku Syed Putra, Sultan Hisamuddin Alam Shah dan Sultan Abu Bakar.

Tuanku Syed Putra baru selesai menepung tawar kedua putera.

Sultan Pahang, Gabenor Sarawak dan Sultan Brunei.

Turut berangkat para permaisuri termasuk Tunku Durah, Tunku Aminah, Tengku Budriah, Tengku Azam, Tengku Ampuan Jemaah dan Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN KALI KEDUA.

Antara penerima Darjah Kerabat Brunei ialah DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan YAM Tunku Laksamana Negeri Sembilan Tunku Munawir Ibni Tuanku Abdul Rahman. Sementara itu Tunku Abdul Rahman Putra dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Kelas Pertama manakala Tun Abdul Razak dikurniakan SPMB Kelas Kedua. Istiadat dijalankan di Istana Darul Hana.

Darjah Kerabat Brunei.

Tunku Abdul Rahman dan DYAM Raja Muda Johor Tunku Mahmood Iskandar.

Tunku Munawir dikurniakan Darjah Kerabat Brunei.

YTM Tunku Abdul Rahman dikurniakan SPMB. Turut kelihatan Tengku Ampuan Jemaah.

Permaisuri yang berangkat termasuk Tengku Budriah, Tengku Azam , Tengku Ampuan Jemaah dan Raja Isteri Pengiran Anak Damit.




Wednesday, 1 January 2014

Tunku Puan Zanariah Pohon Ketepi Perintah Cerai Mahkamah.




JOHOR BAHRU 1 Jan. - Bekas Sultanah Johor, Tunku Zanariah Tunku Ahmad hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini untuk mengetepikan perintah Mahkamah Syariah yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah menceraikannya.Permohonan yang difailkan melalui Tetuan Kamar Ainiah, Raziff dan Zashidi dan menamakan Sultan Iskandar sebagai responden itu difailkan pada pukul 10 pagi di Pejabat Pendaftar mahkamah berkenaan.

Kamar Ainiah ketika ditemui berkata, permohonan tersebut adalah untuk mengetepikan dan membatalkan perintah Mahkamah Rendah Syariah menerusi saman bernombor 01001-054-2025-2010 yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor telah menceraikan Tunku Zanariah pada 23 Januari 2009 dan rujuk yang dilafazkan pada minggu berikutnya adalah tidak sah.Katanya, permohonan tersebut dibuat dengan alasan bahawa penghakiman Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru bertarikh 30 September 2010 dalam kes saman berkenaan adalah menyalahi hukum syarak dan undang-undang serta menyalahi tatacara Mahkamah Syariah.

"Perintah tersebut telah menamakan Almarhum sebagai plaintif walaupun semasa hayat baginda, Sultan Iskandar tidak pernah membuat apa-apa permohonan untuk mengesahkan dakwaan cerai tersebut. Almarhum dan Tunku Zanariah telah hidup bersama sebagai suami isteri yang sah dengan aman sehingga kemangkatan baginda pada 22 Januari 2010," katanya."Walaupun Tunku Zanariah dinamakan sebagai defendan di dalam kes saman tersebut, Tunku Zanariah tidak pernah dimaklumkan atau menerima apa jua kertas klausa kes tersebut dan hanya mengetahui penghakiman mahkamah serta dakwaan cerai tersebut pada 22 Ogos lepas menerusi surat yang dihantar Mufti Johor," katanya.


                         

Peguam Syariah, Kamar Ainiah Kamaruzaman (kiri), melihat dokumen afidavid bersama anak-anak bekas Sultanah Johor, Tuanku Zanariah Tunku Ahmad iaitu Tunku Masera (dua dari kiri), Tunku Noraini (tiga dari kiri) dan Tunku Muna di luar Mahkamah Syariah Johor Baru di sini.

Lawatan Raja-Raja Melayu ke Brunei (Tahun 1958)- Bahagian 2.

Setelah selesai Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Brunei, Sultan Selangor dan Sultan Pahang berangkat ke Brunei Shell Petroleum Seria Oils Fields. Baginda berdua ditemani oleh Raja Perlis dan Pemangku Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru tiba ke Brunei.

Raja-Raja Melayu meninjau jentera yang memproses minyak.

DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Putra meninjau ketinggian jentera yang memproses minyak.

LAWATAN KE B.S.P. CO LTD TRADE SCHOOL.

Seterusnya baginda Raja-Raja Melayu berangkat pula ke Brunei Shell Petroleum Company Limited Trade School. Sekolah ini melatih anak-anak muda dari Brunei dan Borneo untuk bekerja di dalam bidang penghasilan dan pemprosesan minyak.

Tunku Munawir dan Tuanku Syed Putra bersuai kenal dengan pelajar-pelajar.

Sultan Hisamuddin dan Tunku Munawir melihat aktiviti yang dilakukan pelajar.

LAWATAN KE SHELL RECREATION CLUB.

Keberangkatan Raja-Raja Melayu disambut oleh ramai pekerja dari Tanah Melayu yang bekerja dengan Brunei Shell Petroleum. Baginda semua beramah mesra dan bertanya khabar dengan pekerja-pekerja berkenaan.

Sultan Abu Bakar bertanya khabar kepada pekerja Melayu di Brunei.

Sultan Hisamuddin berbual mesra dengan para pekerja.


Tunku Munawir bersalaman dengan pekerja dari Tanah Melayu yang menyambut ketibaan Raja-Raja Melayu .


Lawatan Raja-Raja Melayu ke Brunei Darussalam (Tahun 1958).

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. Selamat menempuh tahun baru 2014. Semoga kita mendapat rahmat dan hidayah daripada Nya sepanjang tahun 2014 ini. Post pertama pada tahun baru ini merupakan post yang agak istimewa. Mengimbau kembali kenangan Raja-Raja Melayu pada awal kemerdekaan negara.

Pada tahun 1958, Raja-Raja Melayu telah berangkat ke Negara Brunei Darussalam untuk meraikan Hari Keputeraan Sultan Brunei yang ke 42. Raja-Raja Melayu telah diundang oleh Sultan Brunei ketika itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Seri Begawan Sultan Sir Omar Ali Saiffuddien Sa'adul Khairi Waddien. Antara Raja Melayu yang berangkat ke Brunei ialah DYMM Sultan Selangor, KDYMM Sultan Pahang, DYMM Raja Perlis, DYAM Tengku Mahkota Johor dan YAM Tunku Laksamana Negeri Sembilan. Turut berangkat ialah Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien.

ISTIADAT MEMERIKSA BARISAN KEHORMAT .

Sempena Hari Keputeraan ke 42, Sultan Brunei berkenan untuk memeriksa barisan kehormat daripada Askar Melayu Diraja Brunei dan lain-lain anggota beruniform di negara itu. Dalam istiadat itu, turut berangkat ialah DYMM Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, KDYMM Sultan Pahang Sultan Abu Bakar, DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Timbalan Ketua Menteri Singapura Dato' Abdul Hamid Jumaat dan Gabenor Negeri Sarawak.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Omar Ali Saifuddien menerima tabik hormat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah menyaksikan perbarisan kehormat.

Turut berangkat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah.

ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN BRUNEI.

Setelah selesai Istiadat Perbarisan Kehormat, Sultan Brunei berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran negara Brunei kepada penerima-penerima terpilih di Istana Darul Hana. Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Brunei kepada Sultan Selangor, Sultan Pahang dan Tunku Mahkota Johor.

KDYMM Sultan Omar Ali Saifuddien memberi ucapan di atas singgahsana Istana Darul Hana.

KDYMM Sultan Pahang dan Gabenor Sarawak.

DYAM Tunku Mahkota Ismail dan DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Permaisuri negara Brunei,Paduka Seri Suri Begawan Raja Isteri Pengiran Anak Damit Binti Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Anak Abdul Rahman, DYMM Tengku Ampuan Selangor Tengku Ampuan Jemaah dan YAM Tengku Azam, isteri Sultan Pahang.

KDYMM Sultan Pahang dikurniakan Darjah Kerabat Brunei.

DYMM Sultan Selangor dikurniakan Darjah Kerabat Brunei.

DYAM Tunku Mahkota Johor dikurniakan Darjah Kerabat Brunei.




Sunday, 29 December 2013

Kemunculan Terkini Sultan Azlan Shah.


Berikut merupakan gambar terbaru Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah yang diambil pada 28 Disember 2013. Baginda sebelum ini dikhabarkan gering dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara sejak bulan April 2013. Semenjak kegeringan baginda, Raja Dr Nazrin Shah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak. 

Alhamdulillah baginda kini kelihatan semakin sihat dan ini adalah kemunculan pertama baginda di khalayak umum semenjak kegeringan baginda. Baginda telah berkenan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) sebanyak RM 1 Juta kepada Institut Jantung Negara (IJN). Selain itu baginda juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM 500,000 kepada Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun (PKKTB) dan RM 100,000 kepada Pusat Diabetis Malaysia. Majlis penyerahan sumbangan ini diadakan di Institut Jantung Negara. Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.

Semoga Sultan Azlan Shah diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Amin...


Sultan Azlan Shah menyampaikan sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif IJN Tan Sri Dato' Seri Dr Robaayah Zambahari sambil diperhatikan oleh Tuanku Bainun dan Raja Dr Nazrin Shah.


Thursday, 12 December 2013

WAJAH-WAJAH :Tuanku Ismail Nasiruddin dan Tuanku Intan Zaharah.

Asslamualaikum. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin dan Yang Maha Mulia Tuanku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Omar Setia Raja menghiasi segmen WAJAH-WAJAH kali ini. Baginda berdua merupakan Sultan dan Tengku Ampuan Terengganu bermula tahun 1949 sehingga tahun 1979. Pasangan DiRaja ini menaiki takhta persekutuan sebagai Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang ke 4 bermula tahun 1965 hingga 1970. Tuanku Ismail amat gemar mengambil gambar. Baginda merupakan salah seorang pencetus jurugambar profesional dan baginda mengambil ribuan gambar sepanjang hayat baginda. Baginda digelar " The Pioneer of Modern Malaysia Photography". Mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Intan pada tahun 1944 namum tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Tuanku Ismail mangkat pada 20 September 1979 di usia 72 tahun . Tuanku Intan Zaharah meneruskan kehidupan di istana dan kini baginda bergelar Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu dan berusia 85 tahun. 

Potret rasmi selaku Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 4.

Baginda berdua sewaktu zaman muda. Gambar ini diambil sekitar lewat tahun 1940 an sewaktu baginda berdua baru menaiki takhta negeri Terengganu. Ketika ini Tuanku Intan baru sahaja berusia awal 20 an.

Wajah Sultan dan Tengku Ampuan Besar Terengganu  Darul Iman yang bertakhta mulai tahun 1949 - 1979.  Baginda berdua amat dikasihi rakyat Terengganu atas kemesraan baginda berdua kepada rakyat.


Gelagat Tuanku berdua sewaktu menyaksikan pertandingan lumba kuda.

Tuanku berdua sewaktu berangkat ke Istiadat Santapan Negara sempena meraikan baginda berdua ke negara Korea. Baginda berdua dianugerahkan darjah kebesaran Korea oleh Presiden Korea Selatan.

Baginda berdua menuruni pesawat sebaik tiba di Singapura untuk lawatan kerja. Tuanku Intan merupakan anak kelahiran Singapura.

Baginda berdua disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang  Tan Sri Wong Pow Nee dan Puan Sri sejurus tiba di Pulau Pinang untuk lawatan rasmi. Baginda berdua banyak melawat negeri-negeri dalam Malaysia termasuklah Sabah dan juga Sarawak.

Baginda berdua berkenan untuk berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baginda berdua berangkat ke Istana Negara untuk Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agong.

Tuanku berdua menerima tabik hormat sejurus tiba ke tanah air selepas membuat lawatan rasmi ke luar negara.

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...