Anda Pengunjung Ke :

Sunday 5 January 2014

Permaisuri dan Golf..

Selain bidang kebajikan dan pendidikan, para Permaisuri Melayu juga tidak kurang hebatnya dalam bidang sukan. Kali ini WARISAN PERMAISURI MELAYU akan bercerita tentang Permaisuri yang terlibat secara aktif di dalam sukan golf. Sukan golf merupakan sukan elit di Malaysia. Para Raja-Raja Melayu terlibat secara aktif di dalam sukan ini dan merupakan sukan wajib bagi mengeratkan hubungan di antara Raja-Raja Melayu. Pertandingan atau kejohanan golf sering diadakan untuk meraikan hari keputeraan atau pertabalan Raja-Raja Melayu. Antara kejohanan yang berprestij ialah Pertandingan Golf Piala Majlis Raja-Raja .Selain Raja-Raja Melayu, para Permaisuri juga tidak kurang hebatnya di dalam sukan ini. Antara Permaisuri yang bergiat aktif dalam golf ialah DYMM Tuanku Haminah, DYMM Tuanku Bainun dan YMM Tuanku Najihah.   Tuanku Najihah merupakan antara pelopor sukan golf wanita di Malaysia apabila baginda mula bergiat dalam sukan golf pada tahun 1970 an. Kini , sukan golf wanita makin berkembang dan Malaysia mula menepah nama di peringkat antarabangsa.


DULI YANG MAHA MULIA TUANKU RAJA PERMAISURI PERAK DARUL RIDZUAN TUANKU BAINUN BINTI MOHD ALI,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Selangor),D.K.A.,Grand Cordon of the Order of Precious Crown (Japan), Grand Cordon of the Most Illustrious Order of Chula Chom Klao(Thailand), Fellow of Liverpool John Moores University.

Tuanku Bainun merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke 9. Baginda semenjak zaman muda lagi meminati bidang sukan. Sewaktu baginda belajar di England, baginda menyertai sukan hoki. Baginda berkongsi minat sukan yang sama dengan suami baginda DYMM Sultan Azlan Shah yang turut mahir bermain hoki. Selain hoki, baginda berdua terlibat dalam sukan golf. Ketika zaman baginda menjadi Raja Permaisuri Agong, baginda sering menyertai Pertandingan Golf yang diadakan di dalam negara.






YANG MAHA MULIA TUANKU TUNKU AMPUAN NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS TUANKU NAJIHAH BINTI ALMARHUM TUNKU BESAR BURHANUDDIN,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Kedah),D.K.(Kelantan),S.P.T.J.,S.P.M.K., Grand Cordon of Royal Cambodia Order.

Tuanku Najihah merupakan salah seorang pemain golf wanita profesional di negara kita. Baginda merupakan Raja Permaisuri Agong ke 10 di antara tahun 1994 hingga 1999. Baginda merupakan pelopor sukan golf wanita di Malaysia. Atas inisiatif baginda, Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) berjaya ditubuhkan pada tahun 1983. Bersama baginda mengasaskan pertubuhan ini ialah Almarhum Tunku Tun Maimunah Sultan Ismail, Mrs Mary Williams dan Ms Tan Siew Lay. Tuanku Najihah merupakan penaung bagi persatuan ini hingga ke hari ini. Baginda mencipta rekod sebagai satu-satunya permaisuri yang berjaya membuat Hole- in- One sebanyak tiga kali. Kali pertama pada tahun 1972 di Subang International Golf Club. Kali kedua semasa suami baginda menjadi Yang Di Pertuan Agong. Ketika itu Tuanku Najihah yang berada di dalam kumpulan Sultan Selangor menentang kumpulan Yang Di Pertuan Agong di Tropicana Golf Club. Kali ketiga ialah ketika baginda bercuti di Hawaii.

Sijil Hole-in-One yang diterima baginda.







DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG TUANKU HAJAH HAMINAH BINTI HAJI HAMIDUN,
D.K.,D.K.H.,D.M.N.,Grand Cordon of the Order of Precious Crown (Japan).

Tuanku Haminah amat meminati sukan semenjak baginda muda lagi. Selain golf, baginda juga meminati sukan tenis dan skuasy. Penglibatan baginda amat aktif dalam sukan golf. Baginda banyak memenangi pertandingan golf yang diadakan di dalam negara. Sepanjang bergelar Raja Permaisuri Agong, baginda banyak menyertai pertandingan golf amal antaranya Piala Raja Permaisuri Agong dan Golf Jemputan Piala Datuk Bandar. Terbaru, Tuanku Haminah menjadi juara Kejohanan Golf Tahunan Public Gold 2013 bagi kategori wanita di Kelab Golf Pulau Pinang. Baginda dan Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim juga menyertai Pertandingan Golf Empat Penjuru Piala Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Taiping Golf Resort pada Oktober 2013.











1 comment:

  1. Assalamulaikum. Saya Muhammad Zahin, Project Manager dari Glocal Link (M) Sdn Bhd anak syarikat MARA. Saya ditugaskan untuk menganjurkan Kejohanan Golf Amal Jubli Emas Mara. Saya ingin menjemput kerabat diraja untuk bersama sama memeriahkan kejohanan tersebut. Saya ingin memohon kerjasama Encik untuk mendapatkan senarai kerabat di raja yang suka bermain golf. saya boleh dihubungi di 011-21 000 731/ zahin.glsb@gmail.com

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...