Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 18 January 2014

Sultan Berjiwa Seni..

WARISAN PERMAISURI kali ini akan membawakan sebuah kisah seorang Sultan yang berjiwa seni. Baginda yang dimaksudkan ialah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Idris Shah II Ibni Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Al Kaddasullah. Baginda merupakan Sultan Perak bermula tahun 1963 hingga kemangkatan baginda pada tahun 1983. Baginda pada usia muda pernah mengganggotai sebuah kugiran yang diberi nama Orkes RIShah. Baginda memang seorang peminat muzik dan berbakat dalam bidang penulisan termasuklah penulisan lirik lagu. Antara lirik lagu yang ditulis baginda adalah Kalau Rindu, Semalam Di Subang dan Pulau Pangkor. Lagu Semalam di Subang dan Pulau Pangkor dirakamkan ke dalam piringhitam oleh penyanyi Aminah Ahmad. Manakala lagu Kalau Rindu pula dinyanyikan oleh Biduanita Negara Allahyarham Toh Puan Setia Dato' Rafeah Buang. Lagu Kalau Rindu ini merupakan lagu malar segar sehingga kini dan tidak jemu didengar. Dengan kombinasi lirik lagu yang meruntun jiwa tulisan Sultan Idris dan kelunakan suara Rafeah Buang, lagu ini pernah menjadi lagu yang berada di tangga teratas pada tahun 70-an. Berikut merupakan lirik lagu Kalau Rindu beserta videonya sekali. Al Fatihah buat Almarhum Sultan Idris dan Allahyarham Rafeah Buang.

Almarhum Sultan Idris Shah.

KALAU RINDU

Di masa berpisah
Mengapa hatiku rasa sedih
Jumpa tak lama
Bersua dikau kekasih

Janganlah kau sayu
Air mata jangan dibuang
Kalau rindu
Pesan saja di awan petang

Dendam tetap menggoda
Merayu dalam jiwa
Kasih takkan lama
Kita bersua jua

Bilakah masanya
Hari yang penuh berbahagia
Kita bersama
Hidup selama-lamanya.

Lagu : Sultan Idris Shah.
Lirik : Sultan Idris Shah.
Penyanyi : Rafeah Buang.

Allahyarham Toh Puan Setia Dato' Rafeah Buang.



1 comment:

  1. salam.alunan lagu yang mengasyikkan.al fatihah untuk kedua-duanya.

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...