Anda Pengunjung Ke :

Saturday, 14 February 2015

Kemangkatan Tunku Abdul Rahman Pada Tahun 1990..


Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah,
D.M.N.,D.K.(Johor),D.K.(Kelantan),D.K.(Perlis),D.K.(Selangor),D.K.(Terengganu).,D.K.(Kedah).,D.K.(Brunei),D.U.K.,S.P.M.S.,D.U.N.M.,S.P.M.B.,Order of Companion of Honour-C.H.(United Kingdom),Order of Australia, Grand Cross of the Order of the Crown(Belgium), Grand Cross of the Royal Order of Sahametrei(Cambodia), Grand Collar of the Order of Sikatuna(Philippines), Ramon Magsasay Award, Order of National Foundation(Republic of South Korea), Knight Grand Cross of the Order of Chula Chom Klao(Thailand), Grand Cordon of the Order of Istiqlal(Tunisia), Grand Officer of the National Order of Vietnam(South Vietnam).

Semua pembaca sudah tentu mengenali Tunku Abdul Rahman Putra, putera raja dari Kedah yang menjadi Perdana Menteri pertama negara kita. Putera berjiwa rakyat ini digelar Bapa Kemerdekaan kerana tanpa usaha beliau, belum tentu kemerdekaan milik Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Jerih perih pengorbanan Almarhum Tunku bersama para pejuang kemerdekaan harus kita hargai dengan mengekalkan kemerdekaan yang sudah kita kecapi ini.

Tanggal 8 februari 1903, lahir seorang putera kepada Sultan Kedah Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Che Manjalara. Putera yang diberi nama Tunku Abdul Rahman Putra itu merupakan putera ketujuh kepada Sultan Abdul Hamid.  Walaupun merupakan seorang putera raja, tetapi beliau berminat dengan politik negara. Atas hasil usaha beliau, Tanah Melayu berjaya mendapat kemerdekaan daripada British dan beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 hingga 1963. Kemudiannya, apabila Persekutuan Tanah Melayu ditukar menjadi Malaysia, beliau bergelar Perdana Menteri Malaysia, jawatan yang beliau pegang hingga 22 September 1970. Beliau bersara dari kabinet ketika berusia 67 tahun setelah 13 tahun menerajui kepimpinan negara. Tunku telah mangkat pada tanggal 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun, setelah 20 tahun bersara sebagai Perdana Menteri. Kemangkatan Tunku diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Sarji. Jenazah Almarhum Tunku diletakkan di Bangunan Parlimen untuk istiadat penghormatan terakhir untuk rakyat jelata. Seterusnya jenazah Almarhum Tunku diterbangkan ke Alor Star untuk dimakamkan di Makam Diraja Langgar,Kedah. Baginda telah berwasiat untuk dimakamkan bersama nenek moyang beliau di Makam Diraja Langgar sebulan sebelum kemangkatan beliau iaitu pada 5 November 1990. 

AL FATIHAH untuk ALMARHUM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA ALHAJ.
Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Surat wasiat yang ditandatangani oleh Almarhum Tunku supaya beliau dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Keratan akhbar News Straits Times bertarikh 7 Disember 1990 yang memaparkan berita kemangkatan Tunku Abdul Rahman.


Dari kiri : Tun Ahmad Sarji (Bekas Ketua Setiausaha Negara), Syed Hussien Syed Abu Bakar(Menantu Almarhum), Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah Tunku pada pagi 7 November 1990 di kediaman Tunku di No 1, Jalan Tunku, 50480 Kuala Lumpur sebelum jenazah Tunku dibawa ke Parlimen. 

Jenazah Tunku disemayamkan di perbalaian tiga tingkat di Bangunan Parlimen. 

Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Azlan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Bainun bersama Sultan Terengganu Sultan Mahmud dan Tengku Ampuan Besar Bariah memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tunku.

Sebahagian kaum kerabat Almarhum Tunku.

Tangisan Setiausaha Peribadi Tunku, Cheah Phee Cheok yang sedang ditenteramkan oleh kaum kerabat Tunku.


Jenazah Tunku dibawa dari bangunan Parlimen ke Jalan Raja.

Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama ribuan rakyat mengiringi perjalanan terakhir Tunku.

Jenazah Almarhum Tunku tiba di Lapangan Terbang Sungai Besi sebelum diterbangkan ke Alor Star dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang merupakan anakanda saudara Almarhum Tunku bersama Sultanah Bahiyah menunggu ketibaan jenazah Tunku.

Pedati yang membawa jenazah Almarhum Tunku dibawa ke Makam Diraja Langgar.

Duduk dari kiri : Kekanda Tunku Abdul Rahman, Tunku Dakiah yang berusia 97 tahun ketika itu, adinda Tunku, Tunku Baharom dan Tunku Toh Puan Habsah. Turut kelihatan, balu Almarhum Tunku, Tun Sharifah Rodziah(duduk di kerusi roda) yang kelihatan uzur bersama kaum kerabat.

Puteri Almarhum Tunku, Tunku Khadijah menatap wajah ayahandanya buat kali terakhir.

Thursday, 12 February 2015

Al Fatihah untuk Allahyarham Dato' Nik Abdul Aziz..



Innalillahiwainnalillahirojiun. Dukacita dimaklumkan bahawa Mantan Menteri Besar Kelantan Darul Naim, Yang Berhormat Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggal dunia pada 12 Februari 2015 pada pukul 9.40 malam. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Pulau Melaka,Kota Bharu pada usia 84 tahun. Beliau meninggal dunia disisi ahli keluarganya kira-kira satu jam selepas keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Allahyarham Nik Abdul Aziz menghidap penyakit kanser prostat tahap empat. Beliau meninggalkan balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 orang anak. Jenazah beliau akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka. 
Setinggi-tinggi ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.


AL FATIHAH
Yang Berhormat Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
S.J.M.K.,K.M.N.,J.P.

Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Wednesday, 11 February 2015

Cinta Antara Dua Darjat..

Kali ini WARISAN PERMAISURI akan membuka cerita tentang salah seorang monarki terhebat di Eropah. Baginda merupakan Ratu England selama lebih kurang 63 tahun dan merupakan moyang kepada Ratu England sekarang Queen Elizabeth II. Baginda yang dimaksudkan ialah Her Majesty Queen Victoria of the United Kingdom. Baginda dikenali sebagai " the Grandmother of Europe". Queen Victoria merupakan seorang pemerintah yang hebat. Selama lebih enam dekad memerintah United Kingdom dan Ireland, baginda banyak membawa kejayaan kepada negaranya. Tetapi kali ini  WARISAN PERMAISURI tidak mahu bercerita tentang kehebatan baginda, tetapi tentang kisah cinta baginda bersama seorang pelayan istana yang beragama Islam. Kisah cinta yang mendapat tentangan hebat keseluruhan kerabat Diraja Britain.

Queen Victoria ketika zaman mudanya.
Queen Victoria telah mendirikan rumah tangga bersama Prince Albert, Prince of Consort pada tahun 1840 semasa baginda berusia 21 tahun. Ketika itu baginda sudah pun menaiki takhta Britain semenjak tahun 1837. Perkahwinan ini dikurniakan 4 putera dan 5 puteri. Pewaris takhta baginda ialah putera sulung baginda Albert Edward, Prince of Wales yang kemudiannya bergelar King Edward VII. 

Perkahwinan baginda berdua memberi kebahagiaan kepada Queen Victoria. Malangnya, Prince Albert meninggal dunia di usia 42 tahun pada 12 Disember 1861 meninggalkan Queen Victoria dan 9 anaknya. 


Potret keluarga diraja Britain 1846.
Queen Victoria yang berusia 42 tahun meneruskan kehidupan dalam kesunyian. Prince Albert merupakan cinta sejati baginda dan kisah cinta mereka berdua merupakan salah satu kisah cinta agung di Britain. Baginda memerlukan belaian seorang lelaki. Selepas kemangkatan suaminya, Queen Victoria bertemankan seorang pekerja istana bernama John Brown. Queen Victoria memberi pelbagai hadiah dan pemberian kepada John dan mencipta dua pingat kebesaran untuk dikurniakan kepada John. Namun, John Brown meninggal dunia pada tahun 1883, meninggalkan Queen Victoria kesunyian sekali lagi. 



4 tahun selepas itu, pada Jun 1887, dua orang pelayan dari negara India dibawa masuk ke dalam istana untuk dijadikan pelayan di meja makan Queen Victoria. Salah seorang daripadanya bernama Abdul Karim, berusia 24 tahun. Queen Victoria yang ketika itu berusia 68 tahun masih mencari peneman setelah kematian suaminya dan juga kekasihnya. Kali pertama terpandang Abdul Karim, baginda sudah jatuh cinta dengan kekacakan Abdul Karim yang memakai turban itu. Queen Victoria sudah menaruh perasaan cinta kepada pelayan yang beragama Islam itu. Dalam masa seminggu sahaja Queen Victoria sudah rapat dengan Abdul Karim. Diceritakan bahawa, kari merupakan salah satu menu untuk hidangan tengah hari baginda. Queen Victoria amat menyukai kari yang disediakan oleh Abdul Karim. 



Abdul Karim banyak bercerita kepada baginda mengenai India dan budayanya sehinggakan Queen Victoria amat berminat mengenainya. Abdul Karim mengajar baginda mempelajari bahasa Hindustan. Dalam diarinya, Queen Victoria menulis, "Beliau seorang guru yang tegas dan seorang lelaki yang budiman". Abdul Karim digelar "Munshi" yang bermaksud guru dalam bahasa Hindi.



Dalam sesi pembelajarannya, Queen Victoria disuruh oleh Abdul Karim untuk menterjemahkan ayat-ayat seperti ' Ratu akan merindui Munshi '. Hal ini menampakkan keintiman mereka berdua. Queen Victoria menganggap Abdul Karim sebagai seorang anak, kerana baginda selalu menggunakan kata ganti diri sebagai  'Bondamu yang penyayang' didalam surat-suratnya kepada Abdul Karim. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati ahli kerabat DiRaja Britain. Mereka menganggap Abdul Karim sebagai 'pemuda India yang bercita-cita tinggi yang sudah mula melanggar semua protokol'. Hal ini adalah kerana Queen Victoria memberi layanan yang istimewa kepada pelayan-pelayan dari India. Kerabat DiRaja Britain memang tidak gemar kepada pelayan berbangsa India. 



Hubungan antara Queen Victoria dan Abdul Karim semakin rapat. Queen Victoria memberi Abdul Karim rumah,hadiah-hadiah mahal, menganugerahi pingat kebesaran dan memberi kebenaran kepada Abdul Karim untuk membawa isteri dan ibu mertuanya ke England. Abdul Karim sudah mempunyai hambanya sendiri di dalam istana. Seterusnya Abdul Karim dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha India kepada baginda. Queen Victoria membawa Abdul Karim dalam lawatan diraja baginda dan juga semasa bercuti. Keintiman Queen Victoria dan Abdul Karim membuahkan rasa cemburu banyak pihak. Anak-anak Queen Victoria juga tidak berpuas hati dengan bonda mereka itu. 

Abdul Karim telah dianugerahi dengan anugerah Commander of the Order of Royal Victorian Order (CVO) sempena ulangtahun keputeraan Queen Victoria ke 80 pada tahun 1899. Beliau juga turut dianugerahi dengan Knight Commander of the Order of Indian Empire (KCIE).



Queen Victoria mangkat pada 22 Januari 1901. Abdul Karim dihantar balik ke India oleh anakanda Queen Victoria, King Edward VII . Abdul Karim tinggal di Karim Lodge yang dibinanya di atas tanah 300 ekar hadiah pemberian daripada Queen Victoria. Abdul Karim meninggal dunia pada tahun 1909 di Agra pada usia 46 tahun.

Ayahanda Dua Orang Raja Permaisuri Agong Yang Menjadi Menteri Besar Terengganu..

Tahukah anda bahawa jawatan Menteri Besar Terengganu pernah diisi oleh dua orang ayahanda kepada dua orang Raja Permaisuri Agong? Kedua-dua Menteri Besar Terengganu ini berkhidmat sekitar tahun 1940an. Mereka adalah ayahanda kepada Raja Permaisuri Agong Ke 4, Almarhum Tuanku Intan Zaharah iaitu Tengku Seri Setia Raja Tengku Omar Bin Tengku Othman dan ayahanda Raja Permaisuri Agong Ke 7, Almarhum Tengku Ampuan Afzan iaitu Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ahmad. 


Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Setia Raja Terengganu Tengku Omar Bin Tengku Othman, O.B.E.,George V Silver Jubilee Medal, George VI Coronation Medal.
Menteri Besar Terengganu ( 15 Julai  1940- 9 Disember 1941 ) 

Almarhum Tuanku Intan Zaharah dan ayahanda baginda, Almarhum Tengku Omar.

Menteri Besar Terengganu ke 2, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Setia Raja Tengku Omar Bin Tengku Muda Othman Bin Tengku Abdul Jalil Ibni Almarhum Sultan Hussain Muazzam Shah diputerakan pada 17 Disember 1884 di Singapura. Beliau merupakan cicit kepada Sultan Singapura yang terakhir iaitu Almarhum Sultan Hussain Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah Alam. Tengku Omar berkahwin sebanyak tiga kali, pertamanya dengan YM Tengku Badariah Binti Tengku Chik Bakar, kedua pada tahun 1927 dengan YM Raja Zainab Binti Raja Alang, dan ketiga dengan Hajah Nik Maimunah Binti Shaik Nik Abdullah pada 9 Oktober 1933. Beliau dikurniakan dengan 4 orang putera dan 4 orang puteri. Puteri beliau bersama Raja Zainab iaitu Tengku Intan Zaharah telah berkahwin dengan putera Sultan Terengganu dan menaiki takhta Terengganu sebagai permaisuri pada tahun 1945. Tengku Omar menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1923 hingga 1940. Seterunya menjadi Menteri Besar Terengganu ke 2 pada tahun 1940 hingga akhir tahun 1941.Tengku Omar mangkat pada 24 April 1945 ketika berusia 61 tahun. Beliau dianugerahi dengan darjah Order of British Empire (O.B.E.) pada 1 Januari 1941 oleh King George VI.

Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah, M.B.E.,George V Silver Jubilee Medal, George VI Coronation Medal, Elizabeth II Coronation Medal.
Menteri Besar Terengganu ( 17 Disember 1945 - 26 Disember 1949 )

Almarhum Tengku Ampuan Afzan dan ayahanda baginda Almarhum Tengku Muhammad.

Menteri Besar Terengganu ke 4, Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad Ibni Sultan Sir Ahmad  Muazzam Shah diputerakan pada 18 Ogos 1901. Beliau merupakan putera ke 8 kepada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Sir Ahmad Muazzam Shah Ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali bersama isteri baginda DYMM Tun Besar Fatimah Binti Tun Muhammad. Beliau berkahwin sebanyak 2 kali. Pertamanya di Kuala Kangsar pada Fabruari 1923 dengan YM Raja Nur Anuar Binti Raja Harun Al Rashid dan keduanya pada tahun 1928 dengan YM Tengku Hajah Aishah Mandak Binti Tengku Mustafa. Beliau dikurniakan dengan 4 putera dan 15 orang puteri. Puteri keempat beliau iaitu Tengku Afzan telah berkahwin dengan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah dan telah menaiki takhta negeri Pahang pada tahun 1974. Tengku Ampuan Afzan juga menjadi Raja Permaisuri Agong Ketujuh bermula tahun 1979 hingga 1984. Tengku Muhammad menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1945 hingga 1949. Seterusnya beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang pada tahun 1951 hingga 1955 dan tahun 1955 hingga 1957. Beliau telah mangkat pada 8 Januari 1957 pada usia 56 tahun. Beliau telah dianugerahi pingat Member of British Empire oleh Raja England pada tahun 1936. Seterusnya Commander of British Empire oleh Ratu England pada tahun 1954.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Perasmian Masjid DiRaja Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah..


Masjid DiRaja Negeri Selangor Darul Ehsan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merupakan masjid rasmi negeri Selangor. Masjid ini mengambil nama Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Masjid ini diilhamkan oleh Almarhum Sultan Salahuddin semasa baginda mengishtiharkan Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor pada 14 Februari 1974. Ini adalah impian baginda untuk melihat satu mercu tanda yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negeri Selangor. Pembinaan masjid ini dimulakan pada tahun 1982 dan mengambil masa selama lebih kurang 6 tahun untuk disiapkan. Masjid ini dikenali sebagai Masjid Biru kerana kubahnya yang berwarna biru dan merupakan kubah masjid terbesar di dunia. Masjid ini boleh memuatkan seramai 24,000 orang jemaah dalam satu-satu masa. 

Tanggal 11 Mac 1988 merupakan tarikh bersejarah buat Almarhum Sultan Salahuddin dan seluruh rakyat negeri Selangor. Pada tarikh inilah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dibuka secara rasminya. Impian Almarhum Sultan Salahuddin tercapai apabila melihat masjid ini berdiri gah di ibu negeri Selangor. Upacara perasmian masjid ini dibuat secara besar-besaran. Masjid ini dirasmikan sendiri oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj. Lebih manis lagi, kesemua Raja-Raja Melayu berangkat ke upacara perasmian ini termasuklah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Brunei Darussalam. Upacara perasmian dijalankan penuh adat istiadat diraja menunjukkan betapa tingginya martabat masjid di hati Almarhum Sultan Salahuddin. Berikut merupakan gambar-gambar semasa Upacara Perasmian Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam :

Sultan Salahuddin bersama Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah memasuki pintu utama masjid.

Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 8 Sultan Iskandar bersama Sultan Azlan Shah.

Sultan Selangor menuju ke pintu utama masjid sambil diiringi oleh anakanda baginda Tengku Sulaiman Shah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj.

Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah bersama Raja Muda Selangor Tengku Idris Shah dan Pemangku Sultan Johor Tunku Ibrahim Ismail.

Keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah.

Keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra.

Keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar.

Keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ketibaan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr Mahathir Bin Mohamad.


Jejawat-jejawat yang berpakaian hulubalang melayu yang membawa alatan kebesaran diraja.

Pancaragam Polis Diraja Malaysia turut mengambil bahagian.



Sultan Selangor menerima tabik hormat daripada Rejimen Askar Melayu Diraja.


Sultan Selangor menyampaikan titah diraja.

Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Putera dan Puteri Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj merupakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan bermula tahun 1938-1942 dan 1945-1960. Baginda merupakan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke 2 Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1960. Baginda diputerakan pada 13 Mei 1898 di Istana Bandar Temasha. Baginda merupakan putera kepada Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan YABhg Cik Hasnah Binti Pilong. Baginda berkahwin sebanyak tiga kali. Pertamanya pada tahun 1919 dengan DYMM Tengku Ampuan Raja Jemaah Binti Raja Ahmad yang kemudiannya bergelar Tengku Ampuan Selangor dan Raja Permaisuri Agong. Keduanya pada tahun 1927 dengan YABhg Cik Puan Hajah Kalsum Binti Mahmud. Dan kali ketiga dengan YAM Raja Halijah Binti Sultan Sir Idris Murshid Al Azzam Shah Rahmatullah. Baginda dikurniakan 4 orang putera dan 3 orang puteri dan putera sulung baginda menggantikan baginda sebagai Sultan Selangor apabila baginda mangkat pada 1 September 1960.

Gambar yang diambil pada 9 Mac 1975 menunjukkan kesemua putera dan puteri Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Dari Kiri : DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, YAM Tengku Laksamana Tengku Badli Shah AlHaj, DYTM Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah, YAM Tengku Bendahara Tengku Azman Shah, DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Bariah, YAM Tengku Taksiah, dan YAM Tengku Besar Putera Tengku Ismail Shah AlHaj.

1. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj (putera DYMM Tengku Ampuan Jemaah ).

- Diputerakan pada 8 Mac 1926. Dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950. Menaiki takhta Selangor pada 3 September 1960. Dimahkotakan sebagai Sultan Selangor pada 28 Jun 1961. Berkahwin sebanyak 5 kali iaitu dengan YMM Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, YABhg Cik Mahiran Muhd Rais, DYMM Tengku 
Ampuan Rahimah Sultan Abdul Aziz, YABhg Dato' Seri Sharifah Salmah Syed Ahmad Al Kaf dan DYMM Tengku Permaisuri Siti Aishah Abdul Rahman. Baginda dikurniakan 4 orang putera dan 8 puteri. Menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 11 pada tahun 1999 hingga 2001. Mangkat pada 21 November 2001 pada usia 75 tahun.


2. Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Darul Ehsan Tengku Badli Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerakan pada 26 Jun 1928 di Klang. Dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor oleh kekandanya pada tahun 1961. Berkahwin dengan YAM Tengku Aminah Binti Tengku Mahmud Zuhdi pada tahun 1945. Beliau dikurniakan 2 putera dan 5 puteri. Tengku Badli Shah mangkat pada 1 Jun 1988 pada usia 60 tahun.

3. Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerikan pada 29 September 1929 di Istana Bandar Temasha,Kuala Langat. Baginda berkahwin pada 19 September 1956 di Istana Bukit Kota dengan YTM Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah. Perkahwinan baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Baginda diberi gelaran DYTM Raja Puan Muda Kedah pada tahun 28 November 1981. Baginda mangkat pada 21 September 2015 pada usia 86 tahun.

4. Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Selangor Darul Ehsan Tengku Azman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj (putera YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerakan pada 1 Januari 1931 di Klang. Dilantik sebagai Tengku Bendahara Selangor 13 Mei 1959 oleh ayahanda beliau. Berkahwin dengan YAM Tengku Puan Bendahara Tengku Thuraya Almarhum Sultan Ibrahim pada 27 Disember 1950. Beliau dikurniakan 4 putera dan 2 puteri. Beliau mangkat pada 23 Mac 2014 pada usia 83 tahun. 


5. Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu Darul Iman Tengku Ampuan Hajah Bariah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj (puteri YABhg Cik Puan Kalsum).

- Diputerikan pada 31 Ogos 1933 di Klang. Baginda berkahwin dengan DYTM Yang Di Pertuan Muda Terengganu Tengku Mahmud Ibni Sultan Ismail Nasiruddin pada 22 Mac 1951 di Istana Mestika,Kuala Lumpur. Baginda diberi gelaran DYTM Tengku Puan Muda Terengganu pada 22 Mac 1951. Seterusnya bergelar DYMM Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 21 Mac 1980 hingga 14 Mei 1998. Setelah kemangkatan suami baginda, Tengku Bariah bergelar YMM Tengku Ampuan Terengganu. Perkahwinan baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Baginda mangkat pada 21 Mac 2011 pada usia 78 tahun.


6. Yang Amat Mulia Tengku Besar Putra Selangor Darul Ehsan Tengku Ismail Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh Cik Puan Kalsum).

- Diputerakan pada 12 Ogos 1937 di Klang. Beliau diberikan gelaran Tengku Panglima Besar oleh ayahanda beliau pada 13 Mei 1959 dan dinaikkan ke Tengku Besar Putra pada 28 Jun 1961 oleh kekanda beliau. Beliau berkahwin dengan YM Cik Puan Hajah Zaharah Binti Abdul Rashid pada tahun 1960. Beliau dikurniakan seorang putera dan dua orang puteri. Beliau mangkat pada 9 Julai 2019 pada usia 82 tahun.



7. Yang Amat Mulia Tengku Hajah Taksiah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj ( oleh Cik Puan Kalsum).
- Diputerikan pada tahun 1939 di Istana Mahkota,Klang. Beliau merupakan puteri bongsu kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Beliau berkahwin sebanyak dua kali. Pertamanya dengan YM Raja Sulong Bin Raja Ariffin. Kali keduanya dengan sepupu beliau sendiri iaitu YM Tengku Amir Sharifuddin Ibni Tengku Dato' Ibrahim Shah yang muda 21 tahun daripada beliau.Beliau mempunyai seorang anak.


Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...