Anda Pengunjung Ke :

Sunday 3 May 2015

Persiapan Sempena Pertabalan Sultan Perak.

Pelbagai persiapan telah dijalankan sempena Pertabalan Sultan Perak pada 6 Mei ini. Antara persiapan paling penting adalah Panca Persada untuk Istiadat Bersiram dan Balai Gambang untuk dinaiki oleh Paduka Seri Sultan Perak untuk menziarahi makam-makam Almarhum Sultan Perak yang terdahulu. 


Poster Sultan dan Raja Permaisuri Perak.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata, persiapan bagi mengadakan istiadat pertabalan yang bermula Ahad ini kini sudah 90 peratus siap dan berjalan lancar dengan semua pihak terbabit sudah bersedia untuk melaksanakannya apabila tiba masanya nanti. “Bagi istiadat pertabalan pada 6 Mei, setakat ini, tetamu jemputan yang diundang sebahagian besarnya akan hadir seperti waris atau wakil raja; Yang Dipertua Negeri bagi negeri tidak beraja; Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. “Semua Sultan dan Raja dijangka hadir pada Santapan Pertabalan yang diadakan di Istana Iskandariah pada 9 Mei.

 Balai Gambang untuk dinaiki oleh Sultan Perak. 
sumber : utusan malaysia 

Istiadat pertabalan turut memberi peluang kepada rakyat menyaksikan pembinaan dan penggunaan Panca Persada dan Balai Gambang bagi istiadat pertabalan Sultan Perak. Balai Gambang pula sebuah rumah rakit seberat 4.5 tan dengan panjang 12 meter dan lebar enam meter yang akan membawa sultan menyusuri Sungai Perak untuk istiadat menziarahi makam Sultan Perak terdahulu yang terdapat di sepanjang pesisir tebing sungai berkenaan. Pembinaan balai gambang membabitkan kerjasama JKR Perak dan pelajar serta pensyarah, Fakulti Sains Maritim Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) diketuai Timbalan Dekan Akademik dan Teknologinya Zaimi Zainal Mukhtar.

Panca Persada yang akan digunakan untuk Istiadat Bersiram.

 Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad berkata, JKR sedang giat mempersiapkan kerja menghias dan sentuhan akhir Panca Persada sebelum sedia digunakan pada malam 7 Mei nanti. “Kerja melakar sudah dilaksanakan sejak Februari lalu dan setiap tingkat akan dihiasi dengan warna bendera negeri Perak iaitu putih, kuning dan hitam dan akan dihiasi dengan lampu bewarna-warni bagi menghiasinya kerana ia menjadi simbol kepada upacara pertabalan. “Seramai 35 tenaga kerja termasuk arkitek, jurutera dan tukang mahir dari JKR seluruh negeri ditugaskan menyiapkan Panca Persada. Saya sangat bangga kerana apa yang kita laksanakan ini langsung tidak membabitkan pihak luar dan segala hasil adalah kerja keras JKR Perak sendiri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Panca Persada di pekarangan Istana Iskandariah, di sini.

1 comment:

  1. Daulat Tuankui..Semoga Allah merahmati pemerintahan Tuanku,

    ReplyDelete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...