Anda Pengunjung Ke :

Thursday 7 May 2015

Istiadat Tabal Pusaka dan Siram Tabal.


Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 diteruskan dengan penyempurnaan Istiadat Tabal Pusaka, yang diadakan secara tertutup di Balairong Seri Istana Iskandariah, malam tadi. Istiadat Tabal Pusaka merupakan salah satu daripada enam istiadat yang perlu disempurnakan sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXV (Ke-35). Istiadat Tabal Pusaka ini mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-Perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Santapan Nasi Berastakona. Sebaik Istiadat Tabal Pusaka disempurnakan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, diarak bagi menyempurnakan Istiadat Siram Tabal di Panca Persada di pekarangan istana bermula jam 10.37 malam. Istiadat Siram Tabal dikendalikan Toh Seri Nara Diraja, Mohamed Sah Nong Chik dari awal hingga akhir ke atas perkakas istiadat. Kain putih direntangkan dan daun nyior muda berbentuk jari lipan ditaruhkan ke atas kain putih yang dipegang dan diregang toh puan di setiap penjuru.

Ia dimulakan dengan mengambil geluk berisi air dan dicurahkan ke atas kain putih sehingga habis enam belas geluk berisi air. Nobat dipalu sepanjang istiadat berlangsung dan selepas selesai kira-kira jam 10.45 malam, baginda berdua menyalin pakaian dan berangkat turun dari panca persada berselimut kain benang emas kekuningan dan diarak balik ke istana. Istiadat kemudian diteruskan dengan Majlis Santapan Nasi Berastakona, yang diadakan di Balairong Seri istana.



Dari Panca Persada Baginda berdua berangkat ke Istana Iskandariah untuk menukar persalinan bagi menghadiri Istiadat Santapan Nasi Berastakona di Balairung Seri Istana Iskandariah. Setelah selesai Istiadat Santapan Nasi Berastakona maka Istiadat Tabal Pusaka sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35) telah disempurnakan.


Berangkat dalam Istiadat ini adalah Paduka Bonda kepada Tuanku Sultan, YMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun Mohd Ali, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Raja Mahani, Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan,  DYAM Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan Tunku Soraya. Turut hadir adalah  Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan para jemputan khas.


Sultan Nazrin dan Tuanku Zara menaiki tangga Panca Persada.


Tuanku Bainun bersama Raja Mahani, Tunku Soraya dan tetamu-tetamu.




Raja Puan Besar Raja Mahani dan Raja Puan Muda Tunku Soraya mengambil gambar.







Nota kaki : Jangan lupa untuk "LIKE" laman Facebook WARISAN PERMAISURI MELAYU

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...