Anda Pengunjung Ke :

Sunday 3 May 2015

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Bermula.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mengaminkan doa yang dibacakan oleh Mufti Perak. Turut kelihatan Raja Muda Perak Raja Ja'afar Raja Muda Musa.

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghur-lah dimulakan pada hari ini, 3 Mei 2015 dengan Istiadat Meletak Kerja . Istiadat ini diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Istiadat yang diadakan di kawasan Panca Persada, perkarangan istana itu dimulakan sebaik sahaja keberangkatan tiba Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang masing-masing lengkap berbaju Melayu dan berkurung moden warna hijau pada 9.50 pagi.


Anakanda baginda berdua, Raja Azlan Muzaffar Shah yang juga Raja Kechil Besar Perak dan Raja Nazira Safiya, turut berangkat bersama-sama pasangan diraja itu. Istiadat diteruskan dengan titah memohon perkenan oleh Orang Kaya-kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim untuk memulakan istiadat meletak kerja. Sultan Nazrin Shah kemudian menzahirkan perkenan dan melafazkan pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja untuk memulakan segala persiapan bagi mengendali upacara bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.

Sejurus selepas itu, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria memimpin bacaan doa yang disusuli tembakan meriam 17 das serentak dengan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Perak yang lengkap berbaju Melayu biru.Majlis diteruskan dengan 'kenduri arwah' (jamuan makan kecil-kecilan) sebelum istiadat meletak kerja berakhir. Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.



Turut hadir kerabat diraja Perak, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.Menjelang Istiadat 'Tabal Adat' dan 'Tabal Pusaka' masing-masing pada 6 dan 7 Mei, Sultan Nazrin dijadual berangkat ke beberapa majlis bersempena Istiadat Pertabalan baginda, antaranya, Pameran Koleksi Foto Sultan Nazrin Shah anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan selain majlis kesyukuran dan doa selamat.

Istiadat 'Tabal Adat' akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak disusuli pemasyhuran gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan 'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara Salim sebanyak tiga kali.

'Adat Bersiram Tabal' dengan mengambil air dari tujuh kuala sungai berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei diikuti istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, berlangsung pada sebelah malam.

sumber : bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...