Anda Pengunjung Ke :

Thursday 7 May 2015

Istiadat Mengambil Air Siram Tabal.



Kesinambungan adat dan tradisi pertabalan Sultan Perak diteruskan lagi dengan istiadat mengambil air bersiram Tabal di tujuh Kuala Sungai Perak hari ini pada hari Khamis, 7 Mei 2015. Istiadat berkenaan merupakan sebahagian daripada beberapa adat termasuk Istiadat Tabal Pusaka, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona yang dijangka berlangsung pada sebelah malam. Istiadat mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak bermula dengan perarakan berkereta dengan paluan nobat dari pintu besar Istana Iskandariah hingga ke tebing Sungai Perak.



Perarakan kali ini juga turut melibatkan pasukan nobat diraja, panglima-panglima, bentara-bentara yang dikendalikan oleh Toh Seri Nara Diraja Mohd Sah Nong Chik.
Manakala di tebing sungai, perkakas istiadat dibawa naik ke dalam bot dan kelihatan Raja Chik Muda Pawang Diraja, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara menaiki bot kemudiannya mula mengambil air dari kuala Sungai Kangsar. Rombongan turut bergerak ke kuala-kuala sungai lain, iaitu Sungai Chepias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya serta Sungai Menora untuk mengambil air dan dibawa ke Panca Persada bagi diguna pakai pada istiadat Siram Tabal.




Sepanjang perjalanan berkenan turut diiringi dengan paluan nobat yang dijalankan khusus bersempena Pertabalan Sultan Perak,Sultan Nazrin Shah ke-35. Air yang diambil dimasukkan kedalam bekas yang dipanggil geluk atau buyong. Sebanyak 16 geluk digunakan bagi istiadat ini yang terdiri daripada 8 geluk emas dan 8 geluk perak. Geluk-geluk berkenaan diiringi dengan hiasan daun kelapa muda yang dianyam berbentuk jari lipan, bekas perasap, bekas beras kunyit, bekas beras basah, bekas bertih, bekas tepung tawar, bekas air sintuk, bekas air limau dan bekas air bunga panca bicara. Istiadat disempurnakan dalam masa dua jam dan geluk-geluk yang berisi air berkenaan diarak balik ke Istana Iskandariah dengan iringan paluan nobat oleh Kumpulan Nobat Diraja Perak. Sesampainya ke Istana Iskandariah, air berkenaan dibawa ke Panca Persada untuk digunakan bagi Istiadat Bersiram Tabal pada malam ini selepas Istiadat Tabal Pusaka dijalankan.







No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...